Wednesday, April 21, 2010

DADAH: ANTARA PENGGUNAAN DAN PENYALAHGUNAAN

Islam tidak mengharamkan dadah. malah dadah merupakan suatu rahmat yang diturunkan oleh Allah untuk kegunaan manusia terutamanya dalam bidang perubatan. Apa yang diharamkan oleh ulama’ Islam ialah penyalahgunaan dadah. seseorang yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah diklasifikasikan sebagai golongan yang secara sengaja meletakkan diri dalam bahaya. Perbuatan ini jelas bertentangan dengan norma dan syariat Islam. Allah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke Dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya Segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya.

(Surah Al-Baqarah: Ayat 195)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-76 yang bersidang pada 21-23 November 2006, sekali lagi membuat keputusan tentang isu pengambilan dadah jenis baru yang memberi kesan yang lebih parah kepada penagih. Fatwa memutuskan bahawa:

Dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baru yang lain mempunyai kesan mudharat yang sama seperti ectasy, Katamine dan Gamma Hydroxybutyric Acid (GHB).

Oleh itu, penyalahgunaan dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baru yang lain adalah haram. Semua aktiviti yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah ini seperti menanam, memproses, memiliki, menjual, mengedar, membeli atau membiarkan premis digunakan untuk bersubahat dengan penggunaannya juga adalah diharamkan.

Berdasarkan fatwa tersebut, pengharaman dadah bukan sahaja ditujukan kepada penagih, bahkan ia merangkumi setiap individu yang terlibat dalam segala aktiviti penyalahgunaan dadah termasuk individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti menanam/menghasilkan, memproses, memiliki, mengedar, menjual, membeli, membiarkan premis digunakan bagi segala tujuan tersebut dan juga sesiapa yang bersubahat dengan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah adalah termasuk dalam maksud fatwa tersebut.

Kesan penyalahgunaan dadah adalah sama seperti kesan minum arak malah lebih teruk lagi. Maka sistem qias (analogi) yang digunakan adalah merujuk kepada persamaan kesan atau ‘illat yang sama.

Namun perlu difahami bahawa Islam mengharamkan arak secara zatnya dengan kata lain pengharamannya adalah secara mutlak tidak kira apa jua tujuan, tetapi lain keadaannya dengan dadah. Islam tidak mengharamkan zat dadah sebaliknya Islam mengharamkan penyalahgunaan dadah.

Contoh yang paling mudah untuk dijadikan sandaran agar perkara ini lebih mudah difahami ialah air kelapa. Air kelapa diharuskan oleh Islam dan Islam tidak mengharamkan air kelapa tetapi Islam mengharamkan penyalahgunaan air kelapa. Antara contoh, air kelapa diperam dan hasil pemeraman itu menimbulkan tindak balas kimia sehingga menjadi tuak yang memabukkan. Maka apa yang diharamkan oleh Islam ialah penyalahgunaan itu sendiri.

Dadah merujuk kepada bahan kimia psikioaktif yang mampu mengubah cara minda dan tubuh berfungsi jika disalahgunakan. Namun ia merupakan antara bahan terpenting dalam dunia perubatan sehinggakan mampu memberi ketahanan kepada badan dan meningkatkan tahap imunisasi badan.

Jelaslah bahawa dadah diharuskan penggunaannya dalam perubatan malah digalakkan dalam Islam kerana ia merupakan satu bahan istimewa yang diciptakan Allah untuk kebaikan manusia. Harus kita sedar bahawa nikmat yang dikurniakan oleh Allah perlu kita gunakan sebaik mungkin kerana ia menterjemahkan kesyukuran kita kepada Allah. Sebaliknya apabila kita menyalahgunakan nikmat pemberian Allah, kita termasuk dalam golongan kufur yang menanti ‘azab seksa yang amat dahsyat daripada Allah seperti mana firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud:

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat Ku kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azab Ku amatlah keras".

(Surah Ibrahim: Ayat 7)

Sebagai umat Islam, jangan kita mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan sebaliknya jangan kita menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah. Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu pun nyata. Hanya kerana tafsiran kita yang hanya menggunakan secebis akal yang dikurniakan Allah menjadikan kita hamba yang derhaka kepada Allah. Wana’udzubillah. Semoga kita sentiasa terdorong melakukan kebaikan dan seterusnya dikurniakan Syurga bersama orang-orang yang bersyukur.

1 comment:

Cawangan Agama said...

apa komen anda tentang petikan yang dipaparkan ini?