Friday, April 30, 2010


MUTIARA HIKMAH:

"Jangan engkau bersahabat dengan sahabat yang mana dia begitu berharap kepada engkau ketika mahu menyelesaikan masalahnya sahaja sedangkan apabila masalah atau hajatnya telah selesai maka dia memutuskan kemanisan persahabatan. Bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai ketinggian dalam melakukan kebaikan, memenuhi janji dalam perkara yang benar, memberi pertolongan kepada engkau serta memadai dengan amanahnya atau sikap bertanggungjawabnya terhadap engkau". -Imam Umar bin Abdul Aziz

Thursday, April 22, 2010

WANITA ITU AURAT


Al-Imam At-Tirmidzi dalam Sunan-nya berkata, "Telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Basysyar, ia berkata: Telah menceritakan kepada kami Amr ibnu Ashim, ia berkata: "(Telah menceritakan kepada kami Hammam, dari Qatadah, dari Muwarriq, dari Abul Ahwash, dari Abdullah ibnu Masud, dari Nabi s.a.w: "Wanita itu aurat, maka apabila ia keluar rumah, syaitan terus memandangnya (untuk menghias-hiasinya dalam pandangan lelaki sehingga terjadilah fitnah)".Aurat bererti menimbulkan malu apabila dilihat orang lain sehingga perlu ditutup dan dijaga dengan baik. Kerana wanita itu aurat, bererti menimbulkan malu apabila sampai terlihat lelaki yang bukan mahramnya. Sehingga sentiasa tinggal di dalam rumah itu lebih baik bagi si wanita, lebih menutupi dirinya dan lebih jauh daripada fitnah (godaan/gangguan). Apabila ia keluar rumah, syaitan berusaha untuk menyesatkannya dan menyesatkan orang-orang dengan sebab dirinya. Tidak ada orang selamat dari fitnah ini kecuali orang-orang yang dirahmati oleh Allah SWT. Yang disyariatkan bagi wanita muslimah yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhir adalah tinggal di dalam rumahnya tanpa keluar kecuali apabila ada keperluan, dengan memakai pakaian yang menutup seluruh tubuhnya dan tidak memakai perhiasan serta wangi-wangian, sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: "Dan tetaplah kalian tinggal di rumah-rumah kalian dan janganlah bertabarruj sebagaimana tabarrujnya orang-orang jahiliah yang awal" (al-Ahzab:33). "Apabila kalian meminta sesuatu keperluan daripada mereka maka mintalah dari balik tabir/hijab, yang demikian itu lebih suci bagi hati kalian dan hati mereka" (al-Ahzab:53). Apabila wanita tidak mengamalkan tuntutan syariat yang suci ini, ia akan jatuh dalam jerat dan perangkap para lelaki yang fasiq. Terlebih lagi apabila keluarnya menuju ke pasar, pusat membeli belah, tempat rekreasi dan tempat-tempat keramaian yang disitu terjadi ikhtilath (campur baur lelaki dan wanita). Kerana kepastian berita dari Rasulullah bahawa wanita itu aurat, maka hendaklah wali para wanita, samada dari kalangan ayah, bapak saudara, datuk, saudara lelaki ataupun suami, memerhatikan keadaan dan memiliki rasa cemburu terhadap para wanita di bawah jagaan mereka. Jangan biarkan mereka (para wanita) keluar rumah tanpa ada keperluan atau keluar rumah tanpa memakai pakaian yang sesuai dengan syariat, yang menutup sebagai aurat mereka. Bagi para wanita sendiri, hendaklah mereka segera berpegang dengan tuntutan Allah SWT dan Rasul-Nya s.a.w kerana di dalamnya pasti ada kebaikan bagi mereka. Allah juga melarang para wanita melembutkan suara wanita ketika berbicara dengan lelaki ajnabi agar jangan sampai lelaki yang punya penyakit di hatinya berkeinginan jelik terhadap wanita. Apabila perinta ini dititahkan di zaman Rasul s.a.w, dalam keadaan kaum mukminin kuat imannya dan mulia jiwanya, lalu bagaimana dengan zaman ini, di mana iman semakin melemah dan sedikit orang yang berpegang dengan agama? Kerananya, wajib bagimu wahai wanita untuk tidak bercampur baur dengan lelaki ajnabi dan tidak berbicara dengan mereka kecuali apabila ada keperluan yang sifatnya darurat dengan tidak mendayu-dayukan dan melembutkan suara, berdasarkan dalil ayat yang telah disebutkan..

.........petikan Majalah i

Wednesday, April 21, 2010

Program Mahabbah


PROGRAM MAHABBAH

Tujuan:

Merealisasikan Era 2010 – 2014 Rakyat Bangun Menentang Penyalahgunaan Dadah Melalui Institusi Masjid

Objektif:
  • Menggerakkan Institusi Masjid dalam membentuk semua aspek kehidupan bukan sebagai tempat beribadah semata-mata.

  • Merealisasikan pembinaan modal insan dan pembentukan sahsiah Islam yang dituntut oleh agama.

  • Menjalin kerjasama antara Institusi Masjid dan AADK untuk mencegah najis dadah dan penagihan semula.

  • Memberikan kesedaran kepada jemaah Masjid tentang tanggungjawab memerangi najis dadah ini adalah satu kewajipan selaras dengan tuntutan Islam dalam mencegah kemungkaran.

  • Menyebarkan maklumat tentang gejala penagihan dan penyalahgunaan dadah khususnya di kalangan umat Islam yang amat membimbangkan
Golongan Sasar:

Semua lapisan masyarakat tidak mengira peringkat umur, khususnya golongan belia dan remaja yang datang ke masjid secara tidak langsung dapat menyebarkan maklumat dan senario dadah semasa kepada rakan-rakan dan komuniti setempat tentang bahayanya pengambilan dan penyalahgunaan dadah.



DADAH: ANTARA PENGGUNAAN DAN PENYALAHGUNAAN

Islam tidak mengharamkan dadah. malah dadah merupakan suatu rahmat yang diturunkan oleh Allah untuk kegunaan manusia terutamanya dalam bidang perubatan. Apa yang diharamkan oleh ulama’ Islam ialah penyalahgunaan dadah. seseorang yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah diklasifikasikan sebagai golongan yang secara sengaja meletakkan diri dalam bahaya. Perbuatan ini jelas bertentangan dengan norma dan syariat Islam. Allah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke Dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya Segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya.

(Surah Al-Baqarah: Ayat 195)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-76 yang bersidang pada 21-23 November 2006, sekali lagi membuat keputusan tentang isu pengambilan dadah jenis baru yang memberi kesan yang lebih parah kepada penagih. Fatwa memutuskan bahawa:

Dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baru yang lain mempunyai kesan mudharat yang sama seperti ectasy, Katamine dan Gamma Hydroxybutyric Acid (GHB).

Oleh itu, penyalahgunaan dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baru yang lain adalah haram. Semua aktiviti yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah ini seperti menanam, memproses, memiliki, menjual, mengedar, membeli atau membiarkan premis digunakan untuk bersubahat dengan penggunaannya juga adalah diharamkan.

Berdasarkan fatwa tersebut, pengharaman dadah bukan sahaja ditujukan kepada penagih, bahkan ia merangkumi setiap individu yang terlibat dalam segala aktiviti penyalahgunaan dadah termasuk individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti menanam/menghasilkan, memproses, memiliki, mengedar, menjual, membeli, membiarkan premis digunakan bagi segala tujuan tersebut dan juga sesiapa yang bersubahat dengan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah adalah termasuk dalam maksud fatwa tersebut.

Kesan penyalahgunaan dadah adalah sama seperti kesan minum arak malah lebih teruk lagi. Maka sistem qias (analogi) yang digunakan adalah merujuk kepada persamaan kesan atau ‘illat yang sama.

Namun perlu difahami bahawa Islam mengharamkan arak secara zatnya dengan kata lain pengharamannya adalah secara mutlak tidak kira apa jua tujuan, tetapi lain keadaannya dengan dadah. Islam tidak mengharamkan zat dadah sebaliknya Islam mengharamkan penyalahgunaan dadah.

Contoh yang paling mudah untuk dijadikan sandaran agar perkara ini lebih mudah difahami ialah air kelapa. Air kelapa diharuskan oleh Islam dan Islam tidak mengharamkan air kelapa tetapi Islam mengharamkan penyalahgunaan air kelapa. Antara contoh, air kelapa diperam dan hasil pemeraman itu menimbulkan tindak balas kimia sehingga menjadi tuak yang memabukkan. Maka apa yang diharamkan oleh Islam ialah penyalahgunaan itu sendiri.

Dadah merujuk kepada bahan kimia psikioaktif yang mampu mengubah cara minda dan tubuh berfungsi jika disalahgunakan. Namun ia merupakan antara bahan terpenting dalam dunia perubatan sehinggakan mampu memberi ketahanan kepada badan dan meningkatkan tahap imunisasi badan.

Jelaslah bahawa dadah diharuskan penggunaannya dalam perubatan malah digalakkan dalam Islam kerana ia merupakan satu bahan istimewa yang diciptakan Allah untuk kebaikan manusia. Harus kita sedar bahawa nikmat yang dikurniakan oleh Allah perlu kita gunakan sebaik mungkin kerana ia menterjemahkan kesyukuran kita kepada Allah. Sebaliknya apabila kita menyalahgunakan nikmat pemberian Allah, kita termasuk dalam golongan kufur yang menanti ‘azab seksa yang amat dahsyat daripada Allah seperti mana firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud:

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat Ku kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azab Ku amatlah keras".

(Surah Ibrahim: Ayat 7)

Sebagai umat Islam, jangan kita mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan sebaliknya jangan kita menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah. Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu pun nyata. Hanya kerana tafsiran kita yang hanya menggunakan secebis akal yang dikurniakan Allah menjadikan kita hamba yang derhaka kepada Allah. Wana’udzubillah. Semoga kita sentiasa terdorong melakukan kebaikan dan seterusnya dikurniakan Syurga bersama orang-orang yang bersyukur.

Pembukaan Blog Cawangan Agama Agensi AntiDadah Kebangsaan

Assalamualaikum wbt.

Salam perkenalan, Cawangan Agama Agensi Antidadah Kebangsaan ingin mengucapkan selamat datang kepada semua pelawat-pelawat yang singgah ke Blog Cawangan Agama Agensi Antidadah Kebangsaan.

Untuk makluman, blog ini diwujudkan adalah sebagai satu wadah dan platform terkini bagi menyalurkan maklumat semasa Cawangan Agama Agensi Antidadah Kebangsaan dan juga sebagai pemberitahuan maklumat Program-program yang telah diadakan , juga yang akan diadakan oleh unit kami.

Oleh itu, sebagai mukadimah kami mengucapkan selamat datang dan selamat berkongsi idea yang bernas bagi memajukan lagi aktiviti membanteras dadah dan dakwah islam kepada masyarakat Malaysia.

21 April 2010
Sidang penulis

Agensi Antidadah Kebangsaan
Aras 5, Bangunan IOI Square,
IOI Resort, 62502 Putrajaya

Tel: 03-8949 8400 , Fax: 03-8941 0513
www.adk.gov.my